WUJUD
Yang dimaksudkan wujud itu ialah WUJUDULLAH, iaitu ujudnya Allah. Kalimah Allah merangkumi istilah wujud ZatNya, wujud SifatNya, wujud AsmakNya dan wujud Af’alNya. Kita wajib percaya bahawa Allah itu wujud tanpa ragu-ragu. Allah itu adalah nama bagi ZAT, dan Zat itu adalah Diri Tuhan yang kita sembah dan tempat kita memohon pertolongan, dan Diri Zat itulah yang dinamakan Nafsiah. Keadaan Diri Zat itu disebut oleh Allah sebagai
لَيْسَى كَمِثْلِهِ شَيْئٌ
Maksudnya: tiada sesuatu (alam) jua pun yang menyerupai Dia – (Asy Syura 11).
Didalam Al-Qur’an, Allah menyatakan dengan tegas tentang kekuasaan dan kebesaranNya (Naqli) dan para ulama’ membuat kesimpulan dengan wujudnya alam-alam yang dijadikan Tuhan, membuktikan Tuhan itu Ada, dan mereka berpandangan bahawa mustahil alam yang ada dan dapat kita lihat ini wujud dengan sendirinya tanpa pencipta (Aqli).
Firman Allah:
هُوَ الله ُالَّذِ يْ لاَ اِلَهَ اِلاَّ هُوَ الْمَلِكُ الْقُدُّ وْسُ السَّلاَ مُ الْمُؤْ مِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيْزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُ
سُبْحَانَ اللهِ عَمَّا يُشْرِكُوْنَ هُوَالله ُالْخَالِقُ الْبَارِئُ الْمُصَوِّرُ لَهُ اْلاَسْمَأُ الْحُسْنَى يُسَبِّحُ
لَهْ مَافِى السَّمَوَاتِ وَاْلاَرْضِ وَهُوَالْعَزِيْزُ الْحَكِيْمُ
Maksudnya: Dialah Allah, tiada sebarang Tuhan melainkan Dia Raja Yang Maha Suci, Yang Sejahtera, Yang Mengurnia Keamanan, Yang Mengawal, Yang Gagah, Yang Maha Kuasa, Yang Berhak Sombong, maha suci Allah dari apa yang sekutukan, Dialah Allah yang mewujudkan, Yang merupakan, BagiNyalah nama-nama yang baik, berbakti kepadaNya apa yang dilangit dan dibumi dan Dialah Yang Maha Gagah dan Bijaksana.
(Al-Hasyr 23, 24)
Dengan penerangan daripada ayat Al-Hasyr 23 dan 24 itu, maka jelaslah menunjukkan bahawa Allah (Zat) itu bersifat As-Somad, tempat semua makhluk bergantung harap (Al-Ikhlas 2).
TANDA-TANDA ALLAH WUJUD
Didalam Al-Qur’an sudah terang dan nyata bahawa tanda wujud Zat Allah itu hanya diyakini bagi orang yang beriman sahaja, kerana mereka percaya dengan kitab Allah. Akan tetapi bagi orang Islam yang tidak beriman, mereka masih lagi ragu dengan alasan dari Al-Qur’an kerana mereka ini masih lagi Kasbi, ertinya mereka masih terhijab dengan kebenaran Al-Qur’an itu. Andainya mereka percaya dengan isi kitab tersebut, sudah tentu mereka menerima Hakikat Zat Allah itu wujud. Kerana itulah Allah (Zat) itu menurunkan ayat-ayat yang disesuaikan dengan kehendak akal tentang tanda-tanda wujud Allah swt.
Firman Allah:
وَفِى اْلاَرْضِ أَيَاتٌ لِلْمُوْقِنِيْنَ , وَفِى اَنْفُسِكُمْ اَفَلاَ تُبْصِرُوْنَ
Maksudnya: dan dibumi ada beberapa (tanda) kekuasaan Allah bagi orang yang yakin, dan didalam diri kamu, tidakkah kamu perhatikan?
(Az-Zariyat 20, 21)
Ayat yang diatas, Allah swt memerintahkan kepada manusia supaya memperhatikan tanda kekuasaanNya dibumi dan didalam diri manusia. Ertinya perintah Allah ini supaya kita berfikir tentang kekuasaan Tuhan, dibumi itu apa kekuasaan Tuhan, dan didalam diri pula apa kekuasaan Tuhan. Ertinya apa yang kita boleh nampak? Yakni mahu menunjukkan suatu tanda alam yang ghaib supaya mereka percaya pula tanda kekuasaan Zat Tuhan yang wujud lagi ghaib. Begitulah fungsi akal manusia yang sentiasa sahaja mahukan bukti, tanpa bukti mereka tidak mudah percaya. Namun kadangkala ada bukti pun mereka tidak juga akan percaya.
Lihat dan dengar bagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani serta kaum-kaum yang lain yang Allah tunjukkan bukti kekuasaanNya dibumi dengan memusnahkan, menghancurkan dengan mendatangkan angin yang kencang, ribut yang kencang, arus gelombang yang sangat hebat serta menggegarkan bumi, yang mengeluarkan api dan bahang yang panas, yang memusnahkan alam secara ‘total’ pada tempat yang tertentu, yang menghidupkan dan mematikan alam-alam, semuanya ini tidakkah kita perhatikan. Adakah semuanya itu kita mahu katakan sebagai bencana alam yang disebabkan alam juga, atau adakah kita mahu mengatakan bahawa matahari, bulan, bintang dan seluruh planet berjalan mengikut paksinya mengikut arahan alam juga.
Dan banyak lagi tanda-tanda kekuasaan Tuhan yang sebenarnya terhadap alam tersebut. Cuma manusia sahaja yang dapat membuat keputusan sama ada mahu menerima dan percaya semuanya itu adalah dari kekuasaan wujudnya Allah. Kepada yang tidak percaya, itu terpulanglah, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah
َمَنْ شَأَ فَلْيُؤْمِنْ , وَمَنْ شَأَ فَلْيَكْفُرْ
Maksudnya: sesiapa yang mahu percaya maka hendaklah ia percaya (beriman) dan barangsiapa yang menjadi kufur, biarlah mereka menjadi kufur (kafir)
(Al Kahf 29).
BATAS SEMPADAN
Berhubung dengan wujudnya Zat Allah swt ini, kita hendaklah percaya dengan bersungguh-sungguh. Jangan ada keraguan setelah dalil diterangkan mengikut Nas yang jelas dan akal yang terbuka yang dapat menerima segala logiknya. Kerana itulah ulama’ ilmu ketuhanan memberi garis panduan bahawa mempelajari ilmu ini terhukum kepada dua cara hukum, iaitu dengan dalil Naqli (Al-Qur’an dan Hadis) dan Aqli (iaitu dalil logik akal). Pun begitu, berhubung dengan kedudukan Zat ini, memang sesuatu yang sukar bagi kita untuk menunjukkan wajahnya kerana bagaimana pintarnya akal manusia itu, ia tetap juga sukar untuk mengetahui keadaanNya.
Rasullullah saw pernah menyatakan
تَفَكَّرُوا فِى خَلْقِ اللهِ وَلاَ تَتَفَكَّرُوا فِى ذَاةِ اللهِ فَتَهْلِكُوا
Maksudnya: fikirkanlah makhluk Allah, jangan fikirkan tentang Zat Allah nanti kamu akan binasa
(Hadis Riwayat Thabrani)
Kerana Zat Allah itu tetap kekal keadaanNya demikian sampai bila-bila, kerana manusia tidak akan sampai pengetahuannya tentang Zat tersebut. Demikian jugalah kita tidak akan dapat hendak menceritakan keadaan masam, masin, manis, pahit dan sebagainya.
Disamping hadis Rasullullah tersebut, Allah pula berfirman
وَيُحَذِّ رُكُمُ الله ُنَفْسَهُ
Maksudnya: dan Allah mencegah kamu untuk mengenali DiriNya (Zat)
dan sabda Rasullullah lagi,
كُلُّكُمْ فِى ذَ اتِ اللهِ اَحْمَقُ
Maksudnya: kamu semua tetap tidak dapat mengerti tentang ZatNya.
FIKIR SEJENAK
Hadis Rasullullah saw:
اَلنَّاسُ نِيَامٌ فَاءِذَا مَاتُوْ إِنْتَبَهُوْا
Maksudnya: semua manusia sebenarnya dalam tidur, apabila mereka mati, barulah sebenarnya mereka terjaga. |