WAHDANIAH
Yang dimaksudkan Wahdaniah itu ialah Esa atau Tunggal, tidak dua atau tidak tiga. Dia tidak bersusun-susun dan tidak bersilih ganti. Jika Dia bersusun-susun atau bersilih ganti maka bukanlah Dia Tuhan yang Agung sebenarnya. Dia Esa pada ZatNya, Esa pada AsmakNya, Esa pada Af’alNya. KeEsaan ini disebut didalam Al-Qur’an sebagai
وَاِلَهُكُمْ اِلَهٌ وَاحِدٌ
Maksudnya: dan Tuhan kamu itu adalah Tuhan yang maha Esa
(Al-Baqarah 163)
Allah swt juga telah mewahyukan kepada Rasullullah saw
يُوحِى اِلَيَّ اَنَّمَا إِلَهُكُمْ اِلَهٌ وَاحِدٌ
Maksudnya: telah diwahyukan kepadaku bahawasanya Tuhan kamu itu Tuhan yang maha Esa.
(S.Khafi 110)
Didalam banyak sifat keagungan Tuhan, maka sifat keEsaan inilah yang tersangat penting untuk dipelihara, kerana jika silap iktikad maka ia akan membawa kepada bahaya syirik, dan puncak kepada Wahdaniah ini ialah tertumpu kepada kalimah tauhid La Illaha Illallah (tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah), ertinya tiada Tuhan selain daripadaNya. Untuk meyakinkan umat Islam tentang keEsaan Tuhan ini, Allah berfirman didalam Al-Qur’an,
Firman Allah:
لَوْكَانَ فِيْهَا اَلَهَهٌ اِلاَّالله ُلَفَسَدَ تَا , فَسُبْحَانَ اللهِ رَبِّ الْعَرْشِ عَمَّا يَصِفُوْنَ
Maksudnya: sekiranya dilangit dan dibumi terdapat Tuhan selain Allah, tentulah keduanya telah hancur binasa, maha suci Allah yang memiliki Arsy dari apa yang mereka sifatkan
(Al-Anbiya 22) |