IRADAT
Yang dimaksudkan Iradat itu ialah berkehendak. Iradat disini bermaksud Iradatullah, yakni berkehendak Allah. Wajib kita percaya bahawa Allah itu bersifat berkehendak. Iradat itu bererti Maridun iaitu Yang berkehendak (Allah Yang Berkehendak). Dalil Allah bersifat berkehendak, Firman Allah:
اِنَّمَااَمْرُهُ اِذَا اَرَادَ شَيْئًا اَنْ يَقُوْلَ لَهُ كُنْ فَيَكُوْنَ
Maksudnya: apabila Allah berkehendak menjadikan sesuatu, tiada lain perintahnya melainkan Dia berkata JADI maka TERJADILAH
(Yaasin 82)
Ayat yang diatas Allah swt menyatakan Ia berkehendak menjadikan sesuatu daripada sekalian alam ini Dia hanya berkata KUN (jadi) maka FAYAKUN (jadilah). Begitulah kuasa yang mengatasi segala kuasa dibumi dan dilangit dengan hanya menggunakan huruf sahaja KHAF dan NUN, maka berlakulah apa yang dikehendakiNya. Kun itu adalah huruf yang tersangat luar biasa.
Berkehendak Allah itu juga adalah kehendak kita. Tidak sudah dengan kehendak manusia, kehendak Allah juga sudahnya. Demikianlah yang selalu kita dengar setelah daya dan usaha tidak menepati hajat dan manusia hanya didalam ketentuan Allah, yakni La haula wala quwwata illa billah (tiada daya dan upaya melainkan daya upaya dari Allah). Kerana itu kita beriman dengan Qada’ baik dan buruk itu datangnya daripada Allah swt. Firman Allah:
وَمَا تَشَاؤُنَ اِلاَّ أَنْ يَشَاءَ الله ُرَبُّ الْعَالَمِيْنَ
Maksudnya: dan tidaklah kamu yang berkehendak melainkan apa yang dikehendaki oleh Allah
(At-Takwir 29)
وَالله ُخَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُوْنَ
Maksudnya: dan Allah telah menjadikan kamu dan apa sahaja yang kamu buat
(Ash-Shaffat 96) |