PERANAN TAKLUK KEPADA SIFAT MA'ANI

PERANAN TAKLUK KEPADA SIFAT MA’ANI

Maksud takluk itu ialah menuntut sifat kepada perbuatan yang bertambah, atau perbuatan yang ditingkatkan mengikut kehendak Allah swt. Untuk memahamkan istilah satu daripada jurusan ilmu didalam sifat 20 ini terlebih dahulu perlu kita fahami istilah,

1.      Maksud Takluk

Takluk itu bermaksud menguasai, menakluki, menggerakkan, memerintah dan sebagainya atau dikenali sebagai sifat Ma’anawiyah didalam sifat 20.

2.      Maksud sifat Ma’ani

Sifat Ma’ani bermaksud berdiri sifat kepada Zat atau pergantungan sifat pada Zat atau sifat yang mengharapkan kepada kuasa Zat, inilah maksud sifat Ma’ani yang diberikan oleh ulama’ ilmu ketuhanan kepada sifat Ma’ani tersebut. Ini bererti sifat Ma’ani itu adalah sifat makhluk, sementara takluk tersebut ialah yang menakluk atau menggerakkan. Ini membawa kefahaman kepada kita bahawa ketuhanan yang menggerakkan makhluk dan makhluk mengharapkan kepada Tuhan supaya dapat meningkatkan perbuatan, dalam erti beribadat dengan menggunakan kuasa dan ilmu ketuhanan itu sendiri, dalam erti kata Insan Kamil, dalam ilmu perlaksanaan konsep

لاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّاةَ اِلاَّ بِاالله

(Tiada daya dan tiada upaya melainkan daya upaya Allah)

Sebab itu dikatakan

1.                  Sifat Qudrat dan Iradat Allah swt itu tidak tertakluk bagi Diri ZatNya, akan tetapi tertakluk kepada yang lain. Maksud ayat atau istilah diatas ialah kedua-dua sifat Ma’ani diatas ditakluk oleh Allah. Kerana itulah didalam ilmu sifat 20, sifat Qudrat itu menjadi sifat makhluk yang menjadi kuasa roh dan sifat Iradat itu menjadi kuasa nafsu. Kedua sifat ini digerakkan oleh kuasa ketuhanan Zat Ma’anawiyah, Qadirun dan Maridun (Asmak Allah), ertinya sifat ini digunakan oleh Allah swt untuk menimpakan qadha dan qadarNya kepada sekalian alam.

2.                  Sifat Ilmu dan Kalam tertakluk bagi DiriNya, dan tertakluk juga kepada yang lain. Maksud ayat diatas ialah Ilmu dan Kalam itu tertakluk bagi DiriNya ialah ilmu datang daripada Allah atau akal itu daripada Allah (hak Allah) dan setiap ilmu adalah berasal daripada kalam Tuhan (Al-Qur’an). Sebab itu Ilmu dan Kalam itu tertakluk bagi DiriNya. Sementara tertakluk juga kepada yang lain bermaksud, kerana akal tempat ilmu itu ada pada setiap manusia (wajib ada) dan asal ilmu dari Kalamullah (Mutakallimun).

3.                  Sifat Hayat tidak tertakluk bagi DiriNya dan tidak tertakluk juga kepada yang lain. Erti ayat diatas ialah bukan kerana sifat Hayyun itu menyebabkan Zat Allah swt itu hidup. Kerana sebelum sifat Hayyun itu diwujudkan oleh Allah maka Zat itu sudah sedia hidup dengan sendirinya, dan bukan juga dengan sifat Hayat itu manusia itu hidup. Kerana apabila sifat Hayat itu telah menjadi diri sebenar diri, maka ia akan dihidupkan dengan sifat Hayyun Allah swt iaitu sifat Ma’anawiyah (Asmak Tuhan).

4.                  Sifat Sama’a dan Bashar Allah swt itu tertakluk kepada sekalian yang maujud (makhluk) dan termasuklah kepada yang qadim, dan ia menjadi fitrah kepada seluruh alam dan Tuhan. Kerana itu sifat ini termasuk didalam sifat kaya Allah swt (Istaghna). Ini bermakna sifat takluk itu adalah sifat Ma’anawiyah atau sifat yang memberikan makna kepada sekalian alam.

 
Today, there have been 193725 visitors (644007 hits) on this page!
This website was created for free with Own-Free-Website.com. Would you also like to have your own website?
Sign up for free