BASHAR
Adapun maksud bashar itu ialah melihat. Kita wajib percaya bahawa Allah swt itu bersifat bashar. Bashar itu bererti Bashirun yakni yang melihat. Melihat Allah swt tiada terhijab bagiNya sesuatu daripada alam ini, penglihatan yang tidak terbatas sama ada yang nyata ataupun yang ghaib dan Dia melihat dengan sempurna. Dalil Allah mendengar dan melihat,
Firman Allah:
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَىْءٌ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ
Maksudnya: tiada sesiapapun yang menyamai Allah, Dia adalah Yang Maha Mendengar dan Maha Melihat
(Asy-Syura 11)
Allah swt apabila Ia memiliki sifat serba Maha maka terlintas juga didalam hati manusia, bagaimanakah Allah dapat mendengar dan melihat jutaan suara dan mendengar suara bisikan hati? Padahal diantara makhlukNya ada yang jauhnya berjutaan batu diantara satu sama lain dan bagaimana Allah dapat melihat makhlukNya yang berada dilangit dan dibumi sedangkan Ianya tunggal. Demikianlah akal manusia berkira-kira untuk mengetahui akan luasnya kekuasaan Allah tersebut. Untuk menjawab soalan tersebut mengikut akal, kita lihat sahajalah matahari diatas kepala kita, ia tetap satu tetapi dapat dilihat oleh penduduk diseluruh dunia ini dan penduduk dilangit. Inilah rahsia ALLAHU AKBAR, yakni Allah Maha Besar dari segala yang besar dan manusia tidak terjangkau pengetahuan Allah bagaimana yang dihairankan oleh sekalian hambaNya.
Firman Allah:
يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِ يْهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلاَ يُحِيْطُوْنَ بِهِ عِلْمًا
Maksudnya: Allah mengetahui apa yang ada dihadapan dan dibelakang mereka, mereka itu (manusia) tidak dapat meliputi pengetahuan Tuhan dengan pengetahuannya
(Thaha 110) |