SALBIAH
Maksud Salbiah itu ialah menafikan perkara-perkara yang tidak layak bagi Zat Allah swt, atau sifat yang menafikan (menidakkan) kebesaran dan keagungan Tuhan. Ertinya kita wajib menerima hakikat bahawa Zat Allah swt itu memiliki sifat keagungan dan kebesaranNya yang tidak sama dengan sifat alam yang baharu. Ini bermakna kita dengan secara ikhlas mengakui bahawa Zat itu memiliki sifat yang wajib bagi diriNya bersifat Qidam, Baqo’, Mukholafatuhu Ta’ala Lilhawadis, Qiamuhu Binafsih dan Wahdaniah.
Kerana itu jelaslah bahawa sifat Salbiah itu ialah sifat yang hanya ada pada Zat itu sahaja, dan hanya dimiliki oleh Zat (Tuhan) itu sahaja. Tidak pada makhlukNya. Jika makhluk memiliki sifat tersebut maka jelaslah makhluk itu melakukan syirik kepadaNya. Kerana itu Allah memerintahkan kepada manusia supaya berikrar dan berjanji dengan menyatakan,
قُلْ اِنَّ صَّلاَ تِيْ وَ نُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتَيْ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ . لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَبِذَ لِكَ اَمِرْتُ
وَاَنَا اَوَّلُ الْمُسْلِمِيْنَ
Maksudnya: katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku dan hidupku dan matiku adalah kerana Allah, Tuhan bagi sekalian makhluk, tidak ada sekutu bagiNya, dan begitulah aku diperintah dan aku adalah orang Islam yang pertama (beriman)
(Al-An’am 162-163) |