Agama dahulu, sekarang dan selamanya.
Setelah manusia dijadikan Tuhan, sejak manusia pertama Adam a.s hinggalah akhir manusia nanti, mereka hanya diperintahkan supaya mengabdikan diri kepada Tuhan dengan panduan La illaha illallah (tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah). Kerana itu Allah menyebut didalam Al-Qur’an
وَمَا اَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُوْلٍ اِلاَّ نُوحِى اِلَيْهِ اَ نَّهُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ أَ نَا فَا عْبُدُ وْنِ
Maksudnya: dan tidaklah Kami (Allah) mengutus Rasul-Rasul sebelum engkau (hai Muhammad) kecuali Kami wahyukan kepadanya tiada Tuhan selain Aku, maka sembahlah akan Daku.
(Al-Anbiya 25)
Kita hendaklah memahami bahawa Allah telah pun mengutuskan Nabi dan Rasul yang tersangat ramai jumlahnya. Semua mereka diperintah untuk menyampaikan hasrat Tuhan supaya manusia membuat pengakuan ujudnya Tuhan yang maha Esa yang mentadbir seluruh alam. Kerana itu sembahlah Dia dan Esakanlah Dia, ertinya jangan tunduk kepada yang lain, jangan takut kepada yang lain selain dariNya. Itulah yang disampaikan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang diutus oleh Allah seramai 124,000 orang ramainya. Dan Rasul-Rasul sehingga 313 orang ramainya. Diantara mereka hanya 25 orang sahaja yang disebut nama mereka didalam Al-Qur’an.
Jumlah ini sangat ramai, dimulai dari zaman Adam sehinggalah zaman Muhammad sebagai Khotaman Nabi (penamat Nabi). Walaupun disebut jumlah mereka tersangat ramai, namun manusia tetap terus menyombong diri dan tidak mahu insaf akan ajaran Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang terdahulu. Apabila manusia diajak oleh Nabi dan Rasul supaya mengabdikan diri mereka kepada Allah, maka mereka ragu. Hanya sebilangan dari mereka yang ramai itu sahaja yang mahu beriman. Itupun dari kalangan mereka yang beriman tersebut, apabila Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul itu wafat, maka ramai pula yang menjadi murtad dan kembali kepada budaya datuk moyang mereka. Hinggalah diutus pula Nabi dan Rasul yang lain. Namun mereka hendak beristiqamah terus dengan ajaran yang disampaikan tersangat payah. Diantara mereka Tuhan yang sebenar pun disembah dan patung-patung pun mereka sembah juga. Kononnya kerana mengenang jasa dan perjuangan.
Begitulah yang berlaku disepanjang zaman, kerana itu tidaklah hairan mengapa Allah mengutus para Nabi dan Rasul begitu ramai. Seolah-olah Allah tidak pernah berputus asa. Inilah hikmah yang besar yang Allah tunjukkan supaya manusia memikirkan kerana sikap berputus asa itu adalah perbuatan orang-orang kafir.
Didalam Al-Qur’an Allah berfirman:
وَلَقَدْ اَرْسَلْنَا رُسُلاً مِنْ قَبْلِكَ مِنْهُمْ مَنْ قَصَصْنَا عَلَيْكَ وَمِنْهُمْ مَنْ لَمْ نَقْصُصْ عَلَيْكَ
Maksudnya: dan telah Kami utuskan Rasul-Rasul sebelum engkau, diantara mereka ada yang Kami ceritakan kepada engkau, dan ada yang tidak Kami ceritakan kepada engkau.
(Al-Mukmin 78)
Ayat yang diatas juga dikenali sebagai surah Al-Ghafir kerana keampunan Tuhan kepada kesalahan manusia atas kedegilan manusia terhadap Tuhan. Memang terlalu ramai manusia yang degil kerana manusia tidak mengendahkan larangan Tuhan dan tidak mengikut apa yang diperintah. Bayangkanlah begitu ramai Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang memberikan ingatan, namun manusia tetap berdegil, tidak mahu percaya akan keEsaan Allah, ertinya mereka tidak mahu beriman. Kerana itu layaklah mereka dianggap seburuk-buruk binatang disisi Allah ialah manusia sebagai mana firman Allah mengatakan:
اِنَّ شَرَّ الدَّ وَابِ عِنْدَ اللهِ الَّذِ يْنَ كَفَرُوْا فَهُمْ لاَ يُؤْمِنُوْنَ
Maksudnya: seburuk-buruk binatang disisi Allah ialah manusia yang engkar tidak mahu beriman.
(Al-Anfal 55)
Jika pandangan Tuhan seburuk-buruk binatang itu ialah mereka (manusia) yang tidak mahu beriman, maka pada pandangan umat Islam seburuk-buruk binatang itu mungkin khinzir atau babi, mungkin juga anjing. Khinzir tidak boleh dimakan kerana ia membawa penyakit dan najis. Didalam ayat yang lain, Allah menyatakan sikap manusia seperti anjing kerana keutamaan diberikan kepada hidup kebendaan didunia ini lebih berat dari keimanan mereka pada ajaran Allah, lalu mereka menumpukan memburu dunia dari mengabdikan diri kepada Allah walaupun mereka memiliki keimanan pada Allah pada waktu-waktu yang tertentu sahaja. Namun pada yang lain digunakan untuk memburu dunia secara berlebihan. Didalam Al-Qur’an Allah berfirman (Al-A’araf 176):
وَلَوْ شِئْنَالَرَفَعْنَهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى اْلاَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ اِنْ تَحْمِلْ
عَلَيْهِ يَلْهُثْ اَوْتَتْرُكْهُ يَلْهَثْ ذَ لِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِ يْنَ كَذَّ بُوْا بِاَيَاتِنَا
Maksudnya: dan kalau Kami kehendaki, nescaya Kami tinggikan darjatnya dengan mengamalkan ayat-ayat itu, tapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsu, maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau mengahalaunya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau biarkannya, ia menghulurkan lidahnya juga termengah-mengah.
Sebenarnya penumpuan keimanan seseorang itulah yang menyebabkan ia selamat. Jika manusia itu terhalang baginya untuk mempercayai Nabi-Nabi yang diutuskan oleh Allah untuk membawa kebenaran untuk mereka, maka hancurlah manusia itu dan jauhlah mereka daripada rahmat Allah dan yang dikatakan jauh dari rahmat Allah itu ialah syaitan yang direjam.
Maka jadi syaitan pulalah manusia itu, sebagaimana firman Allah:
وَكَذَ لِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُ وًّا شَيَطِيْنَ اْلإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوْحِى بَعْضُهُمْ
اِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُوْرًا
Maksudnya: Dan demikianlah Kami jadikan tiap-tiap Nabi itu musuh iaitu syaitan dari kalangan manusia dan Jin. Sebahagian mereka itu membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan yang menarik untuk tujuan menipu.
(Al-An’am 112)
Cubalah kita Bayangkan, ada manusia yang menjadi seburuk-buruk binatang, ada yang menjadi syaitan, ada yang mengaku menjadi Tuhan. Semua mereka ini telah menjadi sesat yang tersangat jauh dan menyesatkan. Mengapa mereka menjadi sesat?
Sesungguhnya manusia menjadi sesat adalah kerana mereka meninggalkan ajaran Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul yang diutuskan oleh Allah kepada manusia. Mereka tidak mempedulikan maksud La illaha illallah didalam kehidupan mereka. Didalam Al-Qur’an surah Al-Hajj ayat 62, Allah berfirman:
ذَلِكَ بِأَنَّ الله َهُوَ الْحَقُّ وَأَنَّ مَايَدْ عُوْنَ مِنْ دُ وْنِهِ هُوَ الْبَطِلُ وَأَنَّ الله َهُوَ الْعَلِىُّ الْكَبِيْرُ
Maksudnya: Allah penuh bersifat kekuasaan yang luas ilmu pengetahuan kerana itu Dialah Tuhan yang sebenarnya, dan segala yang mereka sembah selain dari Allah adalah palsu, ingatlah Tuhan jualah yang tinggi keadaanNya lagi maha Besar.
Jelas sudah keterangan diatas membuatkan orang yang beriman berasa yakin bahawa selain daripada Allah adalah palsu belaka, inilah yang menjadi pegangan orang-orang yang mempunyai keimanan yang mereka warisi dari Nabi-Nabi dan Rasul sejak dahulu melainkan orang-orang fasik dan menzalimi diri mereka sahaja yang berpegang kepada sesama alam yang baharu. Apakah mereka tidak memahami bahawa selain daripada Tuhan adalah syirik dan tempat mereka adalah dineraka dan kekal didalamnya.
Didalam Al-Qur’an Allah berfirman:
اِنَّ الله لاَ يَغْفِرُ اَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُمَا دُ وْنَ ذَ لِكَ لِمَنْ يَشَاءُ .
وَمَنْ يُشْرِكُ بِااللهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلاَ لاً بَعِيْد َا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak memberi keampunan terhadap orang yang menyekutukanNya, dan Allah memberi keampunan terhadap dosa yang lain bagi orang yang dikehendakiNya. Barangsiapa syirik, sesungguhnya ia telah sesat sejauh-jauhnya.
(An-Nisa’ 116)
Manusia yang Allah swt jadikan dengan perintah memegang amanah daripadaNya dan amanah itu hendaklah dilaksanakan mengikut ketentuan Tuhan iaitu Al-Qur’an dan sunnah RasulNya. Jika tidak berpegang kepada kedua-dua itu, manusia akan menjadi sesat dan manusia hendaklah mengabdikan dirinya pula kepada Allah secara ikhlas sebagaimana firman Allah:
وَمَا أُمِرُوْا إِلاَّ لِيَعْبُدُ وْا الله َمُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّ يْنَ
Maksudnya: dan tidaklah diperintah mereka itu melainkan mengabdikan diri kepada Allah dengan hati yang ikhlas kerana agamaNya.
(Al-Bayyinah 5) |